Hiburan Malaysia yang semakin melalaikan

Posted by wmz , Thursday, December 3, 2009 5:53 PM


Arif Husaini: Hiburan Malaysia yang semakin melalaikan

Apabila dikemukakan wanita cantik dengan pakaian terdedah, dan dengan cerita munkar seperti skandal seks, apa yang paling dilihat oleh orang ramai yang menonton? Tentu sekali aspek-aspek tarikan munkar dan melalaikan itu, walaupun katanya cerita itu mengandungi pengajaran.

Baru beberapa minggu, dunia seni tanah air dikejutkan dengan kemunculan Jalang, sebuah filem yang memaparkan cerita munkar seperti ini, menggunakan wanita cantik sebagai tarikan untuk melariskan cerita.

Dan sudah pasti, pembuatnya ialah orang Melayu beragama Islam yang cuba mewajarkan cerita itu dengan pengajaran dan kisah wanita itu bertaubat, walaupun dilihat daripada poster filem ini yang terpapar di akhbar-akhbar, jauh sekali untuk dikaitkan dengan taubat.

Daripada apa yang telah muncul di media selama ini, saya dapat menyimpulkan filem ini tidak lebih daripada eksploitasi wanita dan menggunakan seks sebagai pelaris. Filem seperti ini memudahkan lagi untuk gejala sosial orang Melayu Muslim di negara ini terus memburuk.

Siapa lagi yang akan menonton filem ini kalau bukan orang Melayu yang sebahagian besarnya beragama Islam? Adakah pembuat filem ini tidak memikirkan kesan-kesan jangka panjang filem yang dibuat konon untuk menceritakan kisah taubat itu kepada umum?

Taubat ialah satu perkara besar dalam agama. Kenapa pembuat filem ini mempersembahkan cerita berkisar taubat ini dengan imej-imej munkar? Ini sangat tidak kena dengan apa yang kononnya ingin disampaikan itu.

Dunia hiburan kita kian sesak dengan hiburan melalaikan. Kita melihat hiburan realiti remaja-remaja yang bercita-cita menjadi artis menjadikan remaja-remaja itu sebagai idola dan ikutan ramai anak muda.

Hasil pengamatan saya sendiri, di rumah-rumah ramai orang Melayu satu keluarga berhimpun di hadapan televisyen menonton rancangan hiburan realiti popular Akademi Fantasia sepanjang malam.

Setiap daripada mereka pula mengenali remaja-remaja peserta rancangan itu, siap dengan latar belakang kehidupan dan bermacam-macam lagi. Tidak cukup dengan itu, mereka membeli majalah mengenai rancangan itu untuk mengenali lagi idola kesayangan mereka itu.

Hasilnya, apa yang ada dalam kepala mereka kalau bukan idola-idola ini. Hiburan menjadi satu agenda penting kehidupan mereka hari demi hari, daripada satu musim ke musim akan datang. Apakah harapan masa depan umat Muslim negara kita sekiranya sebahagian besar lebih suka berseronok dengan hiburan.

Di internet pula, semakin banyak blog yang memaparkan kehidupan selebriti yang amat mengejutkan lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan peranan mereka dalam rancangan di televisyen atau apa yang mereka katakan dalam wawancara-wawancara di akhbar.

Sesuatu perlu dilakukan untuk menghadapi serangan hiburan munkar dan melalaikan yang semakin berleluasa ini. Mereka yang mempunyai autoriti dalam agama dan dihormati termasuk tokoh-tokoh politik perlu bercakap menentang perkara ini.

Pihak berkuasa mungkin boleh menggalakkan filem dan rancangan hiburan yang berfaedah dengan memberikan bantuan tertentu dengan menyediakan dana untuk membangunkan hiburan yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan spiritual bangsa.

Mereka yang terlibat dalam dunia hiburan, yang mempunyai kesedaran ini perlu menggiatkan lagi usaha untuk memperbanyakkan lagi hiburan yang berfaedah. Jangan biarkan unsur-unsur munkar terus diarusperdanakan.

0 Response to "Hiburan Malaysia yang semakin melalaikan"

Post a Comment